Sunday, July 26, 2020

KUASA DAN KEKUASAAN.



         'Power bank' merujuk kepada sesuatu yang sangat berkuasa dan mampu memberikan kuasa kepada yang memerlukannya biarpun harganya tak seberapa.

 

        Atas dasar kekuasaan yang dimiliki dan kemampuan memberi kuasa kepada yang sedang 'nazak' atau nyawa-nyawa ikan, maka ia dianggap sebagai sesuatu yang sangat mustahak dalam kehidupan manusia di seluruh dunia. Pentingnya 'power bank' pada seseorang bagaikan pentingnya kata laluan 'wifi' di permis yang dikunjungi terutamanya di kedai mamak.

 

 

           Berapa banyak kuasa yang dimiliki bergantung kepada pilihan pemiliknya. Harganya bergantung kepada berapa kuasa dan jenama yang dicetak pada badannya. Jenama sangat menjadi penentu kepada harga biarpun kualiti setara. Jenama yang seakan kelakar sebenarnya mempunyai maksud yang tertentu.

 

            Ketahanannya sangat bergantung kepada cara penggunaannya. Sama seperti alatan gajet yang lain, setiap pembeliannya pasti dibekalkan dengan buku manual penggunaan (yang selalu kita abaikan manfaatnya). Ikutilah saranan pengeluar kerana mereka lebih arif tentang kelemahan dan kekuatan keluaran mereka.

 

          Begitulah hebatnya ' power bank', walaupun ia cuma hadiah iringan percuma selepas menukar tayar kenderaan. Tanpa 'power bank' kenderaan mampu bergerak. Tanpa tayar, tak ke mana-mana.

 

Terima kasih sudi membaca sehingga tamat.

Saturday, July 25, 2020

BERATNYA SATU AMANAH





Dalam saya menjalankan tugas yang telah diamanahkan terkadang saya terkhilaf dalam membuat keputusan. Maafkan saya.

Dalam tugasan saya mungkin terkasar bahasa, terlajak gurau yang menyakiti hati. Saya mohon maaf.

Dalam menjalankan amanah terkadang saya perlu bertegas demi kelancaran program yang telah dirancang. Ketegasan saya mungkin tidak digemari. Maafkan saya.

Dalam saya menjalankan tugas saya, banyak kekangan dan halangan yang tak ramai yang tahu betapa perit dan sulitnya saya berhadapan situasi itu. Saya maafkan mereka yang tak mengerti.

Dalam cubaan memuaskan hati semua pihak, pasti ada insan yang berpandangan negatif terhadap saya. Saya maafkan mereka.

Dalam kesenangan kerja saya pada pandangan mereka saya cuba menjemput mereka semua untuk bersama-sama dengan saya. Malangnya saya pun berada di luar. Pintu tak dibuka.

Sekian coretan saya.

AMPUN, MAAF DAN SALAH

Dalam kehidupan seringkali kita ketemu dengan masalah dan persoalan. Masalah dan persoalan itu jika kita dapat hadapi dan atasi dengan tenang, ia akan menjadikan kita insan yang lebih matang.

Kita juga sering berjaya mengesan dengan mudah sekali kesalahan dan kesilapan insan lain. Dalam masa yang sama kita tak sedar perihal salah kita sendiri.

Apabila terjumpa sebarang kesalahan dan kesilapan orang lain, tegurlah dan perbetulkan dia tanpa menjatuhkan air mukanya. Itulah sebaik-baik solusi. Tidaklah perlu dicanang kesalahan dan kesilapan itu ke seluruh alam.

Jadilah insan yang berjiwa besar dalam memohon maaf dan memaafkan insan lain. Kalau hari ini kita memaafkan kesalahan orang lain. mudah-mudahan suatu masa nanti kesalahan kita juga akan dimaafkan oleh orang lain.