Kuasa dan kekuasaan adalah suatu yang sangat dikejar oleh manusia. Kehidupan bagaikan tidak bermaya jika hidup tanpa kuasa. Bayangkan telefon yang telah kehabisan kuasa bateri, apa lagi manfaat yang apa pada telefon ketika itu?
Andai kuasa tidak bermakna dalam kehidupan, masakan pula parti siasah yang pelbagai telah wujud di bumi Malaysia tercinta dengan pelbagai slogan yang segandingan 'demi rakyat', hakikatnya adalah untuk memiliki kuasa dan kekuasaan. Cuma yang membezakan ialah bagaimana kuasa itu digunakan apabila sudah berkuasa nanti. Pasti semua itu adalah disoal secara terperinci di mahkamah akhirat.
Dalam membicarakan kuasa dan kekuasaan, hanya satu golongan sahaja yang apabila bertemu sering bertanyakan jumlah kuasa yang dimiliki dengan menggunakan bahasa rojak, percampuran bahasa kebangsaan dan penjajah. Berapa 'power' cermin mata kamu? Begitulah soalan yang sering terungkap dalam kalangan pemakai cermin mata. Mereka bertanyakan hal kuasa tanpa segan silu di hadapan masyarakat umum.
Walau apapun tafsiran anda mengenai kuasa dan kekuasaan, semuanya akan dipertanggungjawabkan nanti. Gunalah kuasa yang anda sedang miliki sebagai satu amanah untuk kesejahteraan makhluk atas muka bumi ini. Jangan jadikan kuasa sebagai senjata untuk menyakiti makhluk yang lain.
Rusli Bin Hassan
09 Muharram 1444H