Kehidupan ini adalah sesuatu yang mempunyai makna yang sangat tinggi. Kehidupan ini dimulai dengan sesuatu yang menghidupkan dan yang mematikan.
Dalam kehidupan kita sering dihidangkan dengan pelbagai karenah manusia. Terkadang karenah manusia itu mendamaikan dan membuatkan kita tersenyum sendirian. Tak kurang juga terkadang karenah itu menjengkelkan dan mampu menitiskan air mata.
Bahagia atau tidak kita dalam kehidupan kita bergantung kepada bagaimana persepsi kita terhadap orang lain. Kalau kita sering beranggapan orang lain selain kita adalah kelompok manusia yang bermasalah, sebenarnya diri kita sendiri yang bermasalah.
Satu lagi masalah dalam kehidupan ialah kita sering memberi gambaran yang salah mengenai seseorang pada seseorang. Ini sangat bahaya dalam kehidupan kerana gambaran yang salah itu terus dipahat dalam fikiran yang menerima. Masalah akan bertambah berat lagi apabila si penerima sudah membina satu 'cap' bahawa anda bermasalah.
Solusi kepada persoalan ini ialah kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri kita agar persepsi yang salah itu dapat ditangkis bila berlaku pertikaian. Segala tindakan kita wajib direkodkan dan dapat ditunjukkan apabila diminta oleh pihak yang berkenaan.
Kita jangan terlalu mengharapkan orang lain akan mempertahankan kita dalam hal ini. Mereka mungkin penyokong anda pada awalnya tetapi mereka mungkin akan berpaling tadah ketika mereka juga tersepit.
Dalam menghadapi mehnah dan dugaan ini kita seharusnya tidak lari dari landasan agama. Perbanyakkan doa kepada hadrat Allah dengan sepenuh penggantungan dan pengharapan, moga-moga kita dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Doa yang sesuai dibacakan ialah ayat 80 daripada Surah al-Isra'.
#SalamMaalHijrah
#NegaraRahmahUmmahSejahtera
#HijrahBukanlahPelarian
#UmmahRabbaniNegaraHarmoni