Friday, August 21, 2020

HIJRAH DAN DIRI KITA

Kehidupan ini adalah sesuatu yang mempunyai makna yang sangat tinggi. Kehidupan ini dimulai dengan sesuatu yang menghidupkan dan yang mematikan.

 

Dalam kehidupan kita sering dihidangkan dengan pelbagai karenah manusia. Terkadang karenah manusia itu mendamaikan dan membuatkan kita tersenyum sendirian. Tak kurang juga terkadang karenah itu menjengkelkan dan mampu menitiskan air mata.

 

Bahagia atau tidak kita dalam kehidupan kita bergantung kepada bagaimana persepsi kita terhadap orang lain. Kalau kita sering beranggapan orang lain selain kita adalah kelompok manusia yang bermasalah, sebenarnya diri kita sendiri yang bermasalah.

 

Satu lagi masalah dalam kehidupan ialah kita sering memberi gambaran yang salah mengenai seseorang pada seseorang. Ini sangat bahaya dalam kehidupan kerana gambaran yang salah itu terus dipahat dalam fikiran yang menerima. Masalah akan bertambah berat lagi apabila si penerima sudah membina satu 'cap' bahawa anda bermasalah.

 

Solusi kepada persoalan ini ialah kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri kita agar persepsi yang salah itu dapat ditangkis bila berlaku pertikaian. Segala tindakan kita wajib direkodkan dan dapat ditunjukkan apabila diminta oleh pihak yang berkenaan.

 

Kita jangan terlalu mengharapkan orang lain akan mempertahankan kita dalam hal ini. Mereka mungkin penyokong anda pada awalnya tetapi mereka mungkin akan berpaling tadah ketika mereka juga tersepit. 

 

Dalam menghadapi mehnah dan dugaan ini kita seharusnya tidak lari dari landasan agama. Perbanyakkan doa kepada hadrat Allah dengan sepenuh penggantungan dan pengharapan, moga-moga kita dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Doa yang sesuai dibacakan ialah ayat 80 daripada Surah al-Isra'.

 

#SalamMaalHijrah
#NegaraRahmahUmmahSejahtera
#HijrahBukanlahPelarian
#UmmahRabbaniNegaraHarmoni



 

Thursday, August 6, 2020

PERANCANGAN DALAM KEHIDUPAN


Islam bukanlah hanya sebagai satu agama semata-mata. Islam juga merupakan satu cara hidup yang sempurna. Bagi mencapai kesempurnaan dalam hidup, pastilah perlukan kepada perancangan.


Perancangan yang baik mungkin akan mengambil sedikit masa, tetapi dengan perancangan yang teratur dan digabungkan bersama-sama usaha yang gigih, kejayaan pasti akan lebih mudah digapai. Biar lambat asal sasaran tercapai.


Dalam mencapai sesuatu kejayaan, pasti akan ada aral dan rintangan. Aral dan rintangan inilah akan memaniskan kejayaan bila dikecapi nanti. Kejayaan yang dicapai tanpa sebarang cabaran atau kepayahan pasti nikmatnya tidak sama.


Apa sahaja yang positif seperti perancangan yang teratur, usaha yang berterusan, ikhtiar, iltizam, istiqamah dan tawakal (doa), InsyaAllah jalan menuju kejayaan akan terbentang luas untuk kita gapai.


Saturday, August 1, 2020

KORBAN TANPA MENGORBANKAN AGAMA.



Korban adalah suatu ibadah. Ia tak wajar untuk disamakan dengan sembelihan-sembelihan yang lain. Korban juga adalah suatu pengsyariatan dari Allah. 

 

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail saban tahun diulang-ulang tanpa gagal. Ini memberikan satu petanda yang jelas betapa suci dan murninya ibadah korban itu sendiri.

Ibadah korban tidak sewajarnya dicemari dengan 'lawak bodoh' yang menjejaskan imej Islam itu sendiri..Apatah lagi dilakukan oleh penganutnya sendiri. Hentikanlah 'lawak bodoh' yang merendah-rendah Islam ini, bukan sahaja pada ibadah korban, malahan juga pada ibadah-ibadah yang lain. 

 

Ibadah korban juga tidak wajar digambarkan dengan sebarang bentuk keganasan. Ayat-ayat seperti 'selesai bertarung', 'berjaya menewaskan' atau apa-apa sahaja ayat yang seumpama dengannya, bagaikan memberi gambaran bahawa binatang yang hendak dikorbankan itu adalah 'musuh' yang perlu dihapuskan, dan bukanlah sebagai satu tanda kepatuhan kepada perintah Allah.

 

Sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban, kita juga perlu mengorbankan gambaran-gambaran negatif yang terjelas pada padangan bukan muslim atas tindakan keterlaluan kita dalam bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah korban. 

 

Selamat berkorban. Semoga Allah menerima semua ibadah korban dan pengorbanan kita.

 

11 Zulhijjah 1441H