DEDIKASI KHAS BUAT
ALLAHYARHAM SALAHUDIN BIN MOHD JUSOH.
( Penulisan ini adalah salinan semula 100%)
Terbaik!
Terlalu umum atau ‘murah’
kalimat itu sekarang.
Hirup teh tarik di sebuah gerai
mamak, di pinggir Alor Setar, terus dihantar foto gelas yang tinggal separuh
isi dengan 30% adalah busa teh, ke mana-mana grup sembang. Kapsyennya: Terbaik!
Seorang ahli grup, di Ipoh,
juga menghirup teh di sebuah gerai entah milik mamak atau siapa. Dia tidak mahu
kalah. Dihantar foto gelas yang sudah hampir kosong cuma berbaki sedikit busanya.
Kapsyennya: Terbaik!!
Di Jerantut, seorang ahli grup
yang mulanya tidak mahu seluruh grup tahu bahawa dia sedang mengeteh di sebuah
gerai bersama dua tiga rakan masjid, dalam melayan isu semasa di situ, akhirnya
tergerak sama untuk menghantar foto gelas teh yang belum surut
busanya. Terbaik!!! Demikian tulisnya sambil ditokok lima ikon ibu jari.
Ada lagi....
Tapi kita ambil yang tiga itu
sahaja dahulu. Sebenarnya, manakah teh tarik yang TERbaik? Yang di Alor Setar,
atau yang di Ipoh, ataukah yang di Jerantut?
Itu baru teh tarik.
Bagaimana dengan mi udang, nasi
lemak, laksa, bihun sup....
Itu baru makanan.
Bagaimana pula dengan foto atau
kalimat motivasi yang hampir semuanya diulas sebagai TERBAIK?
Yang mana terbaik?
TERBAIK mempunyai maksud asal
PALING BAIK. AMAT baik.
Tetapi jika sudah ada dua saja
yang TERbaik kita sudah keliru, apa pula jika ada berdozen terbaiknya?
Tidak usah bertengkar atau
mempertahankan terbaik masing-masing. Mari kita bercakap dengan kepala yang
dingin....
Terbaik itu subjektif. Terbaik
bagi ABZ, belum tentu begitu bagi GST. XYZ mungkin tidak setuju dengan yang
terbaik bagi BBP. Begitu seterusnya...
Mudah kata, setiap orang, setiap kumpulan, setiap
komuniti pasti mempunyai sesuatu yang TERBAIK dalam semua hal. Sekali lagi,
anggapan sedemikian pastilah tidak akan sama dengan orang, kumpulan atau komuniti
yan lain.
Biarkan kerana demikian pula lumrahnya.
Air tangan emak memang TERBAIK. Oleh kerana kita tidak
berkongsi emak, maka masing-masing emak punya masakanlah yang terbaik! Tidak
boleh dipaksakan orang menerima masakan emak kita sebagai terbaik. Sepertilah
juga orang tidak boleh memaksakan kita menganggap masakan emaknya sebagai
terbaik….
Itu baru di antara atau sesama kita. Terbaik di
kalangan kita. Di negeri atau negara kita.
Bagaimana pula TERBAIK DI DUNIA?
Seluas dunia inilah subjektifnya….
***************************************
Kita pilih satu juzuk TERBAIK.
GURU TERBAIK.
Setiap orang pasti mempunyai GURU TERBAIK. Kriteria penilaian mungkin
berbeza di antara setiap seorang bagi menunjukkan seorang guru itu menjadi
terbaik di mata dan hatinya…
Ada yang mendasarkan kepada penyampaian di dalam kelas,
keprihatinan terhadap individu penilai, kebolehan atau keupayaan yang dikagumi
dan sebagainya.
Tidak berlebihan akan ada pula guru yang terbaik di dunia. Di dunia individu penilai itu…
{Ini tidak berkait dengan GURU TERBAIK DUNIA yang rasmi
di mana sudah ada calonnya dari Malaysia}.
AlFalah satu komuniti kecil.
Satu ketika – hujung dekad 80-an - Jabatan Agama Islam
Negeri Kedah telah menghantar seorang guru perempuan ke AlFalah.
Zarina Abu Bakar.
Manis orangnya, bersuamikan seorang mualaf dari Sabah.
Saya tidak ingat ketika itu pasangan tersebut sudah dikurniakan cahayamata atau
belum.
Cikgu Zarina tinggal di Gurun. Kg Sungai Badak, kalau
tidak salah ingatan saya.
Cikgu Zarina melalui sekurang-kurangnya dua fasa setiap
hari untuk sampai ke AlFalah. Dari Gurun, beliau menggunakan bas UTC, turun di
Simpang Empat. Di pekan kecil itu, sedia menunggu – bersama motorsikalnya
-seorang budak Falah [BF]. Mohd Zahir Ismail ketika itu tinggal di Kg Padang
Jambu. Dia akan ke Simpang Empat setiap pagi, menunggu tibanya bas yang membawa
Cikgu Zarina. Dari situlah, Zahir akan membawa Cikgu Zarina ke AlFalah.
Tengah hari, waktu pulang, jalan yang sama dilalui oleh
Cikgu Zarina dan Mohd Zahir. Dari AlFalah, mereka ke Simpang Empat. Mohd Zahir
akan pastikan Cikgu Zarina siap melintas jalan utama untuk ke perhentian bas,
sebelum dia sendiri berpatah balik, ke rumahnya di Kg Padang Jambu.
Setiap hari persekolahan demikianlah rutin mereka
berdua. Bayaran yang disediakan Cikgu Zarina bagi kenderaan dari Simpang empat
Ke AlFalah itu, tidak pernah saya tanyakan, baik kepadanya mahu pun kepada
‘drebarnya’…
Cikgu Zarina mengajar pelajaran Sains. Pelajaran lain,
tidak saya ingat, mungkin Bahasa Inggeris, kerana beliau merupakan lulusan ITM.
Kehadirannya ke AlFalah meringankan tugasan guru sains
yang sedia ada…
Dia ditugaskan mengendalikan pelajaran itu di peringkat
menengah atas – tingkatan empat dan lima.
Sayangnya tidak lama Cikgu Zarina sempat mencurahkan
bakti di bumi AlFalah. Dari awal lagi, beberapa minggu selepas ditempatkan di sekolah
rakyat tertua di mukim Kangkong itu, dia meminta ditukarkan ke sekolah yang
lebih dekat dengan tempat tinggalnya. Semua guru dan murid faham situasi yang
dihadapinya.
Meski singkat tempoh khidmatnya, kenangan yang
ditingggalkan cukup sukar dipadam.
Secara peribadi, saya mengaguminya. Pada waktu
senggang, di bilik guru, dia sering merujuk
hal-hal berkaitan agama kepada para ustaz, terutamanya Allahyarham Ustaz
Abd Hamid Ismail. “Saya tidak pandai sangat bab agama ini…”katanya selalu,
merendah diri. Tetapi berdasarkan soalan dan isi perbualan, saya tahu
pengetahuannya tentang agama cukup luas. “Saya ada murid untuk diajar dengan
betul dan teliti…”demikian katanya pada satu hari. Dia merujuk anak murid itu
adalah suaminya sendiri – seorang mualaf – yang mungkin dikenali semasa sama
menuntut di kampus.
Pada hari perpisahan – sempena pertukarannya – kami,
guru-guru dan pelajar, telah menganjurkan satu acara yang cukup meriah.
Sehari khas diisi dengan acara untuknya.
Masing-masing berbagi tugas. Baik guru-guru dan seluruh
pelajar.
Selain ucapan dari wakil guru, wakil pelajar dan
semestinya dari Cikgu Zarina sendiri, gamaknya ada acara pemberian hadiah dari
pelajar dan pihak sekolah. Gamakan saja, sebab saya memang tidak ada di dalam
dewan ketika acara berlangsung.
Kalau anda membaca entri Ais
salji Pun Terbakar, anda mungkin dapat tahu puncanya.
Dalam menyusun menu bagi jamuan di hujung acara, selain
ais kacang salji yang diuruskan oleh dua tiga pelajar, air kelapa muda
dikatakan minuman kegemaran Cikgu Zarina. Saya – entah bagaimana – telah
terpilih menyediakan menu itu.
Dengan bantuan seorang dua pelajar [termasuk pelajar
yang saya catatkan di dalam entri tadi], kami menurunkan dua tiga tandan kelapa
muda. Siapa yang memanjat tidak saya ingat. Maaf. Semoga Allah memberkati
mereka.
Yang saya cukup ingat, di bawah surau, berlapikkan
entah tunggul atau kayu apa, saya memancung bontot kelapa, menuang ke dalam
bekas, membelah kelapa dan pelajar tadi mencungkil isinya yang lembut lalu
dimasukkan ke dalam bekas yang sama.
Acara sedang berlansung di dewan. Saya mendengar
tepukan berselangseli dengan ucapan yang sayup-sayup. Setandan kelapa baru
setengah dipancung dan dibelah….
Baju yang baru – kesayangan saya pula – telah banyak
terpercik ‘getah’ kulit kelapa. Terlupa untuk menukarnya sedangkan bukan jauh
pun surau dengan asrama lelaki – tempat saya ikut bersemayam…
Ada pelajar perempuan – AJK Jamuan – datang mengangkat
bekas berisi air dan isi kelapa….belumpun sempat peluh kering, mereka datang
dengan bekas tadi meminta lagi air dan isi kelapa…
Saya dan pelajar yang ‘malang’ itu terpaksa meneruskan
tugas. Hanya telinga sesekali mendengar tepukan manakala ucapan seseorang telah
semakin hilang di bawa angin..
Sebaik selesai tugasan, banyak masa juga diperlukan
bagi mengeringkan badan serta ke asrama bagi menukar baju.
Saya sampai ke dewan ketika acara makan-makan berada
pada suku akhir ketiga…
Seperti acara selalunya, bukan makan minum yang
diutamakan. Kepuasan melihat acara berjalan lancar adalah yang utama.
Ketika berbual dengan guru-guru, saya mendengar satu
ayat dari Cikgu Zarina yang saya ingat sampai kini. “Acara hari ni lebih meriah
dari hari perkahwinan saya!” Ada getar pada ucapan itu yang hanya Allah dan
Cikgu Zarina yang tahu maksud sebenarnya. Kami, guru-guru lain, kemudiannya
hanya mampu meneka…
Ketika saya nyatakan kepuasan kerana dapat ikut
menjayakan acara hari itu dengan orang yang diraikan sejujurnya melahirkan
kegembiraan, kepada budak asrama, barulah saya tahu: Cikgu Zarina menyatakan
hal berkenaan juga di dalam ucapannya yang mengharukan di dalam dewan…
Cikgu Zarina telah ditukarkan ke SMA Merbok. Saya lupa
nama Arabnya. Ada perkataan Darain tapi yang penuhnya saya tidak ingat.
Tempatnya di AlFalah diambil oleh seorang guru dari
Alor Setar yang mengajar di Merbok itu. Kiranya seperti pertukaran suka sama
suka. Cumanya saya tidak tahu berapa pula jarak di antara rumah Cikgu Zarina ke
sekolah berkenaan. Namun tentulah lebih dekat berbanding jarak di antara Gurun
ke AlFalah….
Guru dari Alor Setar yang menggantikan
Cikgu Zarina adalah Cikgu AlHamidi Che Mat, yang tidak mengambil masa yang lama
untuk sesuai di bawah langit AlFalah – dipanggil Sir kerana pengkhususannya
dalam mengajar bahasa Inggeris….
Selepas pertukaran itu, tidak lagi saya berkesempatan
bertemu dengan Cikgu Zarina di mana-mana, di tempat berkursus, misalnya. Lama kemudian,
saya difahamkan, Cikgu Zarina telah melepaskan jawatan guru kerana mendapat
rezeki bertugas di sebuah bank terkemuka di ibunegara. Ada budak Falah pernah
berjumpanya di sana. Paling akhir, seorang BF yang pernah bertemunya – dan sempat
bercerita kepada saya - adalah Suhaimi Md Shah. Sayangnya BF dari Kola itu
tidak pun mengambil sebarang maklumat bagi berhubung terus dengan Cikgu Zarina.
Sayang… atau malangnya….
Semoga Cikgu Zarina berbahagia sepanjang hayatnya, biar
di mana pun dia dan keluarga berada.
Mohd Zahir, drebar Cikgu Zarina dahulu, kini tinggal di Kg Perlis. Rumahnya
berhampiran ban kampung – tidak sampai 1KM dari AlFalah. Dia kini hilang upaya
setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya.
Mengingat Cikgu Zarina, saya terkenang satu episod.
Semasa dia mengajar di AlFalah cerita ini telah saya
dengar sepintas lalu. Betapa ada dua
pelajar lelaki berpuashati dan kagum dengan pengajaran Sains guru itu.
Selepas pertukarannya, hal itu berbangkit. Barulah saya
tanyakan kepada dua pelajar tersebut secara jelas. Mereka berikan satu contoh.
[Barang diingat sekolah agama rakyat ketika itu memang
tidak ada makmal sains. Proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bagi
subjek itu sama sahaja dengan dengan proses untuk subjek BM. …..]
Akan Cikgu Zarina, bagi menghuraikan tentang deria rasa
dan bau, telah melakukan satu eksperimen. Dikisarnya dua tiga jenis buah di
rumahnya, dibawa ke sekolah. Dibuat bentuk pasta dan jus. Dimasukkan setiap jenis kisaran buah itu di dalam
bekas kecil. Pelajar ditutup mata dan diminta merasa serta membau/menghidu….
Kaedah itu – sememangnya pun – akan lebih membuatkan para
pelajar memahami topik yang dibincangkan…
“Cikgu Zarina memang terbaik…” kata salah seorang BF
itu.
“Ya.”tokok rakannya pula. “Cikgu Zarina memang guru terbaik di
dunia!”
Saya mengangguk faham.
Memang, setiap kita pernah ada seorang atau beberapa
orang guru terbaik.
Dan beruntunglah kita jika mendapat pula guru terbaik di
dunia!